‘Perkara ini sedikit sebanyak boleh kurangkan inflasi makanan di dunia.’
Ketersediaan Presiden Rusia, Vladimir Putin untuk membuka pelabuhan Ukraine bagi tujuan mengeskport gandum telah menyebabkan harga gandum jatuh.
Perkhabaran dari Kremlin menyatakan perbincangan antara Presiden Turki, Tayyip Erdogan dengan Putin mengesahkan bahawa Rusia bersedia untuk memudahkan cara penyaluran bijirin dari pelabuhan Ukraine ke Ankara.
Difahamkan sebelum ini, Putin juga telah memberitahu pemimpin Jerman dan Perancis bahawa Rusia sedia membincangkan cara menyambung semula penghantaran bijirin Ukraine.
Ekoran daripada itu, beberapa komoditi dilihat mengalami sedikit penurunan dengan kontrak gandum paling aktif di Chicago Board of Trade (CBOT) menurun 1.77% pada $11.37 atau RM49.75 segantang.
Selain itu, komoditi jagung juga dilihat menyusut 0.8% pada $7.71 segantang sementara harga kacang soya meningkat 0.23% pada $17.36 bagi setengah gantang.
Situasi Gandum Eropah
Walaupun berita ketersediaan eskport gandum telah sedikit sebanyak mengurangkan tekanan terhadap bahan makanan ruji di Eropah, namun masalah pengeluaran kekal menjadi tumpuan.
Menurut peramal cuaca Ukraine, hasil tuaian gandum pada musim sejuk di kawasan kawalan Ukraine dijangka cecah 20.1 juta tan tahun ini, menurun dari 32.2 juta tan yang dicatat pada 2021.
Tidak dilupakan juga situasi kemarau di India yang telah menjejaskan rancangan untuk negara tersebut mengisi kekosongan eksport gandum Rusia ke Eropah.