Jika sebelum ini sering terpapar amaran tentang krisis tenaga yang akan dihadapi Eropah pada musim sejuk, hakikatnya ia kini mempunyai begitu banyak bekalan, lebih daripada yang diketahui.
Pelik tapi benar.
Inilah situasi yang dihadapi Eropah pada ketika ini yang menyaksikan harga gas menjadi negatif pada awal minggu.
Sebelum ini ramai yang bimbang bahawa Eropah akan mengalami musim sejuk yang sukar selepas Rusia mengurangkan bekalannya sebagai tindak balas terhadap sekatan Eropah akibat pencerobohannya ke atas Ukraine.
Kini, kemudahan penyimpanan gas hampir penuh, kapal tangki yang membawa gas asli cecair (LNG) ‘terdampar’ di pelabuhan kerana tidak dapat memunggah kargo mereka menyebabkan harga jatuh.
Harga penanda aras niaga hadapan gas asli Eropah telah susut 20% sejak Khamis lalu dan lebih 70% sejak mencapai rekod tertinggi pada akhir Ogos.
Pada hari Isnin, harga spot gas Belanda (yang mencerminkan keadaan pasaran Eropah semasa) jatuh di bawah €0, menurut data daripada Intercontinental Exchange.
Ini adalah situasi yang sangat mengejutkan bagi Eropah, di mana terdahulu isi rumah dan perniagaan telah terkesan dengan kenaikan harga yang mendadak dalam salah satu sumber tenaga utamanya sepanjang tahun lalu.