Kejatuhan dagangan minyak mentah turut mengheret mata wang komoditi dolar Kanada untuk susut lebih rendah ke paras terlemah 17 bulan kerana kebimbangan yang semakin meningkat terhadap prospek ekonomi global yang menyuramkan.
Memasuki sesi Eropah, dolar loonie diperdagangkan pada sekitar harga 1.3000 berbanding US dolar, paling rendah sejak November 2020.
Harga minyak, yang merupakan salah satu eksport utama Kanada jatuh lebih parah pada hari Isnin disebabkan lonjakan US dolar dan kebimbangan mengenai kemungkinan ekonomi global akan perlahan ekoran penutupan Covid-19 di China dan inflasi yang tinggi.
Niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan rendah pada $104 setong, manakala WTI Amerika Syarikat pula diniagakan pada $102 setong. Kedua-dua penanda aras telah menjunam sekitar 6% pada sesi dagangan sebelum ini.
Sementara itu, pengukuhan US dolar pula disokong oleh pengetatan monetari yang dilaksanakan bank pusat AS dan permintaan pelabur terhadapnya sebagai safe-haven di tengah-tengah ketidakpastian terhadap pertumbuhan global.
Bukan itu sahaja, malah, beberapa mata wang berkaitan komoditi lain turut mengalami kerugian besar, termasuk dolar Aussie dan New Zealand.
Timbalan Gabenor Bank Pusat Kanada (BOC), Toni Gravelle dijangka berucap pada hari Khamis mengenai topik komoditi, pertumbuhan dan inflasi, yang boleh menawarkan petunjuk mengenai prospek kadar faedah.