Dagangan minyak meneruskan penurunan berikutan prospek bekalan tambahan dari Iran akan kembali ke pasaran mengatasi kebimbangan terhadap kemungkinan serangan Rusia ke atas Ukraine.
Pada sesi Asia, niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan pada $92.40 setong, menyusuli kejatuhan 1.9% daripada sesi sebelumnya. Sementara WTI Amerika Syarikat pula diniagakan pada $91 setong setelah susut 2% pada sesi dagangan Khamis.
Kedua-dua kontrak penanda aras berada di landasan untuk kejatuhan mingguan pertama mereka dalam tempoh sembilan minggu selepas mencapai paras tertinggi sejak September 2014 pada awal minggu.
Perunding dari Iran, Rusia, China, Britain, Perancis, Jerman, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat kini masih merundingkan draf perjanjian yang akan membawa kepada pemberian pengecualian terhadap sekatan minyak.
Kira-kira 1 juta tong sehari minyak dari Tehran akan kembali ke pasaran sekiranya kesepakatan dapat dicapai.
Sementara itu, ketidaktentuan mengenai isu geopolitik Rusia dan Ukraine masih menghantui pasaran dan memberi sokongan buat dagangan minyak mentah untuk terus bertahan di atas paras harga $90 setong.