Data terbaru yang dikeluarkan pada sesi Asia mungkin akan membuat Bank of Japan (BOJ) tidak senang duduk dengan dasar monetarinya yang longgar.
Indeks harga pengguna (CPI) teras Jepun yang tidak termasuk makanan segar, dilaporkan meningkat kepada 3.7% pada bulan November setahun lalu.
Angka yang dicatatkan juga sejajar dengan ramalan pasaran dan menokok daripada bacaan bulan Oktober pada 3.6%.
Bacaan terbaharu ini menunjukkan bahawa inflasi teras telah melebihi sasaran harga 2% BOJ selama lapan bulan berturut-turut.
Susulan keputusan mengejut BOJ awal minggu ini untuk membenarkan hasil bon bergerak lebih tinggi, angka inflasi yang meningkat ini juga menguatkan spekulasi bahawa bank pusat itu semakin hampir untuk mengubah dasarnya.
Gabenor Haruhiko Kuroda menggemparkan pasaran global pada hari Selasa dengan mengumumkan bank pusat akan meluaskan sasaran hasil bon 10 tahun kepada sekitar -/+0.5% berbanding -/+0.25% sebelumnya.
Walaupun Kuroda menegaskan bahawa langkah itu bukan melambangkan kenaikan kadar faedah, tetapi ia tetap mencetuskan jangkaan bahawa ia adalah langkah permulaan untuk keluar daripada dasarnya yang sangat longgar.