Berpaksikan data ekonomi Amerika Syaikat (AS) yang lemah dan terbitan laporan pendapatan korporat positif, ekuiti dilihat meneruskan rali kenaikan untuk 3 sesi berturut-turut.
Data indeks keyakinan pengguna AS mencatat penurunan 102.5 untuk Oktober berbanding catatan bulan lepas pada 107.8 dan di bawah unjuran pasaran 105.9.
Perkara ini telah mencetus jangkaan kemungkinan bahawa Federal Reserve (Fed) akan mengurangkan kenaikan kadar faedah secara agresif yang seterusnya membuatkan hasil Perbendaharaan merosot termasuk dolar.
Ulas Chris Zaccarelli dari Independent Advisor Alliance, data tersebut membuktikan teori bahawa berita ekonomi yang buruk adalah berita gembira kepada pasaran.
Tambahnya, sentimen pelabur ekuiti terutamanya dilihat mempertaruhkan bahawa Fed akan kurang agresif memandangkan data lemah boleh menjejaskan ekonomi.
Selain itu, ekuiti turut meraih momentum dengan laporan pendapatan korporat dari Microsoft dan Meta yang baik sungguhpun Alphabet mencatat bacaan agak lemah.
Mencerap papan indeks, Dow Jones Industrial naik 1.1% pada 31,836.74 sementara S&P 500 raih 1.6% pada 3,859.11 dan Nasdaq Composite lonjak 2.2% pada 11,199.12.
Indeks STOXX 600 Eropah canak 1.4% dengan tolok MSCI utama Eropah capai 1.9% selepas pelantikan Rishi Sunak sebagai Perdana Menteri United Kingdom (UK).
Di Asia pula Nikkei 225 Jepun naik 0.85%, Topix capai 0.7%, Kospi Korea Selatan mendatar dan Kosdaq menurun 0.45%.
Indeks S&P/ASX 200 Australia canak 0.34%, menjelang laporan inflasi negara Kangaroo tersebut sementara tolok meluas MSCI Asia Pasifik saham luar Jepun lonjak 0.14%.
Ekuiti di rantau Asia dilihat sedikit bergelut untuk merali dengan situasi semasa berkenaan ketidakpastian sama ada kepimpinan baru Presiden Xi Jinping mampu membangunkan ekonomi China dengan Yuan melemah ke paras terendah sejak 2007.
Dalam pada itu, hasil nota 10 tahun jatuh 4.0792% selepas melonjak seketika sebelum terbitan data harga rumah.