‘Semudah itu sahaja teknologi membawa perbaharuan, tak payah sakit-sakit kena cucuk lepas ni.’
Mungkin kedengaran pelik namun ia adalah realiti apabila kerajaan China meluluskan idea vaksin jenis sedutan (inhaler) terhadap virus Covid.
Cadangan tersebut diutarakan oleh sebuah syarikat farmaseutikal, CanSiro yang menjalankan kajian khusus penghasilan imuniti tambahan pada lapisan hidung dan saluran pernafasan.
Menerusi kenyataan rasmi syarikat, vaksin inhaler tersebut dikatakan dapat memberi perlindungan baik selepas hanya satu sedutan kabus halus (mist).
Tiada banyak maklumat didedahkan syarikat namun mereka mengatakan inti pati ramuan yang digunakan adalah sama dengan vaksin jenis suntikan.
Sebagai rekod, ramuan asal adalah dengan menggunakan adenovirus yang tidak berbahaya atau aktif sebagai pembawa kod genetik yang akan mengajar tubuh cara melawan virus Covid-19.
Kembali kepada cerita asal, pihak Pentadbiran Produk Perubatan Kebangsaan China dikatakan telah memberi kelulusan kepada CanSiro untuk menghasilkan vaksin inhaler bagi digunakan sebagai dos penggalak (booster dose).
Hal ini kerana syarikat mewartakan ia dapat menambah perlindungan kepada mereka yang sebelum ini sudah dicucuk berdasarkan kajian percubaan.
Selain itu, para penyelidik lain termasuk pasukan dari United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) dikatakan juga sedang mengkaji keberkesanan vaksin jenis inhaler tersebut.
Bercakap tentang negara Barat pula, England, Wales dan Scotland difahamkan sedang giat melaksanakan program booster Covid-19 baharu sungguhpun kes jangkitan dilihat berkurangan di sana.
Akan tetapi pihak berkuasa kesihatan England seakan-akan tidak mahu mengambil risiko terutamanya musim berpenyakit pada luruh dan sejuk menghampiri.