Pelabur sesi Asia menyaksikan penyusutan dalam dagangan US dolar dan harga komoditi ketika harapan untuk mendapatkan penyelesaian dalam krisis Ukraine-Rusia meningkat.
Rundingan terbaharu memperlihatkan Presiden Volodymyr Zelensky memberitahu bahawa Ukraine bersedia untuk penyelesaian diplomatik dan berkompromi dalam bahagian tertentu.
Mata wang euro sedikit meningkat dari paras terendahnya untuk didagangkan stabil pada sekitar harga 1.100 berbanding US dolar menjelang mesyuarat polisi Bank Pusat Eropah (ECB) pada malam ini.
Pelabur mengharapkan kenyataan hawkish daripada Presiden Christine Lagarde memandangkan kadar inflasi Eropah semakin meningkat tinggi.
Dagangan safe-haven turut merosot susulan risiko yang semakin berkurang dalam pasaran, menyaksikan indeks dolar terus berundur dari paras tertinggi hampir dua tahun untuk didagangkan pada sekitar harga 98.20 berbanding pesaing utama lain.
Pelabur juga menantikan penerbitan data inflasi Amerika Syarikat pada sesi New York yang dijangka meningkat 7.8% pada bulan Februari.
Sementara itu, harga minyak jatuh mendadak setelah Iraq menyatakan kesediaannya untuk meningkatkan pengeluaran jika OPEC+ memerlukannya. Ia turut menambah bahawa negara itu mempunyai kira-kira 6% pengeluaran sebagai kapasiti ganti dan mengeluarkan 4.4 juta tong sehari.
Ini telah mendorong dagangan minyak mentah untuk jatuh mendadak dan turut mengheret penyusutan harga komoditi lain pada sesi New York.