Kecoh pada hujung minggu mengenai khabar angin rampasan kuasa telah berlaku di China dan Presiden Xi Jinping diletakkan di bawah tahanan rumah.
Namun pada hakikatnya, beliau hanya menjalani kuarantin setelah merantau ke Asia Tengah untuk menghadiri sidang kemuncak seminggu yang lalu.
Difahamkan, dakwaan tersebut timbul setelah pegawai kanan Parti Komunis China menyingkirkan beliau sebagai pemimpin PLA (People’s Liberation Army) dan terdapat beberapa rakaman video yang menunjukkan pergerakan tentera menuju ke kediamannya.
Bagaimanapun, khabar angin itu disahkan palsu selepas kerajaan mengumumkan senarai perwakilan pusat dari seluruh negara berjumlah 2,296 orang untuk menghadiri Kongres Kebangsaan Parti Komunis China ke -20, yang akan diketuai Xi Jinping.
Beliau juga berkemungkinan akan menyambung pemerintahannya untuk penggal ketiga berturut-turut dalam acara penting tersebut yang bakal bermula pada 16 Oktober di Beijing.
Xi sedang berdepan cabaran yang semakin meningkat di dalam dan luar negara. Di China, prospek eprtumbuhan ekonomi terus berkurangan disebabkan dasar sifar Covid yang dilaksanakannya.
Kesengsaraan dalam pasaran hartanah telah menyebabkan kejatuhan harga hartanah selama 12 bulan dan mencetuskan protes dalam kalangan pemilik rumah.
Di pentas antarabangsa, China menghadapi tekanan dari Amerika dan sekutunya berhubung pencabulan asasi manusia di Hong Kong dan Xinjiang, serta beberapa isu lain melibatkan geopolitik dan ekonomi.