Bacaan positif dalam laporan terbaharu pekerjaan NFP Amerika Syarikat telah mendorong lonjakan US dolar untuk didagangkan lebih kukuh berbanding pesaing utamanya.
Ekonomi AS tanpa dijangka menambah sebanyak 528,000 pekerjaan jauh lebih baik daripada jangkaan untuk meningkat sebanyak 258,000 pada bulan Julai manakala kadar pengangguran pula menurun kepada 3.5%.
Selain itu, pertumbuhan gaji yang menjadi tumpuan utama pelabur, meningkat lebih tinggi dengan purata pendapatan setiap jam melonjak 0.5% pada asas bulanan dan 5.2% dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Hal ini secara tidak langsung membuatkan para pelabur kembali melihat peluang untuk satu lagi kenaikan lebih agresif dalam kadar faedah sebanyak 75 mata asas pada mesyuarat polisi September.
Bagaimanapun, pelabur akan memberi tumpuan terlebih dahulu kepada penerbitan data inflasi AS yang bakal dikeluarkan pada hari Rabu di mana ia dijangkakan menurun pada bulan Julai.
Susulan kebangkitan semula dolar greenback, kebanyakan mata wang utama kembali memadamkan keuntungan yang dicatatkan minggu lalu memperlihatkan dolar Aussie dan New Zealand berundur lebih jauh dari paras tertinggi satu bulan.
Mata wang euro dan pound pula kembali didagangkan suram pada sekitar paras terendah satu bulan berbanding US dolar.
Dolar loonie pula susut lebih jauh berbanding USD berikutan penurunan yang dicatatkan dalam pekerjaan Kanada pada Julai dengan kadar pengangguran kekal pada 4.9%.