‘Kena sokong ke barang buatan anak watan ni? Kita tunggu komen dari KJ pulak lepas ni.’
Bintai Kinden Corp Bhd akan bekerjasama dengan Institut Jantung Negara Sdn Bhd (IJN) dalam menghasilkan vaksin Covid-19 di Malaysia.
Dalam satu kenyataan dari Bintai Kinden, menurut Memorandum Persetujuan (MOU) yang dipersetujui bersama IJN pada September 2020 lalu, ia telah memeterai perjanjian kerjasama dengan institusi tersebut bagi mewujudkan perkongsian strategik dalam bidang pembangunan komersial vaksin Covid-19.
Hujar syarikat kejuruteraan itu, perkongsian tersebut berdasarkan kerjasama antara anak syarikat Bintai Healthcare Sdn Bhd (BHSB), Generex Biotechnology Corp (Generex) dan NuGenerex Immuno-Oncology Inc untuk mengkomersialkan vaksin Ii-Key-SARS-CoV-2 koronavirus (Covid-19) di Malaysia.
Di bawah perjanjian tersebut, Bintai Kinden bertanggungjawab untuk memperkenalkan vaksin Covid-19 sementara IJN akan melakukan dan mengetuai ujian klinikal yang diperlukan oleh Kementerian Kesihatan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bintai Kinden, Azri Azerai, kerjasama dengan IJN tersebut akan membawa syarikat selangkah lebih dekat untuk memperkenalkan vaksin Covid-19 baru di Malaysia.
Terang beliau lagi, sebaik menerima kelulusan Food and Drug Administration (FDA), Generex akan beri segala dokumentasi kepada BHSB untuk mendaftar vaksin baru tersebut kepada Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) Malaysia.
Dalam pada itu, Bintai Kinden juga akan menyerahkan cek bernilai RM100,000 sebagai geran permulaan kepada IJN melalui penubuhan Geran Penyelidikan Covid 19, Penjagaan Kesihatan Bintai-IJN bagi membiayai program penyelidikan yang diperlukan.