Komoditi hitam bergerak lebih tinggi pada Rabu, disokong oleh penurunan dalam bekalan minyak yang ditunjukkan oleh Institut Petroleum Amerika (API) dan jangkaan bahawa penularan varian Omicron tidak akan menjejaskan pemulihan permintaan global.
Menjelang pembukaan sesi Eropah, niaga hadapan minyak mentah WTI Amerika Syarikat diniagakan meningkat pada sekitar harga $83.64 setong. Sementara dagangan minyak Brent pula menguat paa $81.27 setong.
Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell memberitahu jangkaannya bahawa impak Omicron ke atas ekonomi mungkin sementara, selain turut menambah pada suku berikutnya boleh menjadi sangat positif untuk ekonomi selepas lonjakan kes yang disebabkan varian itu berkurang.
Dagangan minyak mentah telah meningkat dua kali ganda pada 2021, mengembalikan kerugian yang dicatatkan ketika awal pandemik melanda berikutan semua negara di seluruh dunia kembali membuka sekatan dan aktiviti ekonomi berjalan seperti biasa.
Sementara itu, API melaporkan inventori minyak mentah Amerika Syarikat menurun sekitar 1.1 juta tong pada minggu lalu, tersasar daripada jangkaan untuk penurunan sebanyak 1.9 juta tong.
Namun, sekiranya data rasmi dari kerajaan atau Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) juga menyusut, ia bakal menjadi penurunan untuk minggu ketujuh berturut-turut bagi bekalan minyak mentah AS.