‘Ronaldo dan Messi dunia teknologi ini berkongsi pendapat yang sama! Petanda apakah?’
Individu terkaya dunia, Elon Musk dan individu ke-2 terkaya dunia, Jeff Besoz berkongsi pendapat dan idea yang sama dengan mencadangkan ibu pejabat Twitter Inc ditukarkan menjadi rumah gelandangan.
Umum mengetahui bahawa pada minggu lalu, Musk telah memperolehi sejumlah besar kepentingan Twitter, sebanyak 9% seterusnya menjadikan beliau salah seorang ahli lembaga pengarah syarikat.
Beliau kemudian bertanya kepada pengikutnya di platform tersebut supaya mengundi cadangan untuk menukarkan ibu pejabat syarikat, yang berpangkalan di San Francisco, menjadi rumah gelandangan dan sebanyak 90% mengundi ‘setuju‘.
Perkara menjadi lebih menarik apabila Bezos dilihat meraikan idea itu dan mencadangkan Twitter Inc menukar sebahagaian kecil pejabatnya, jika tidak semua, menjadi pusat gelandagan yang mana Musk respon dengan membalas ‘idea bernas‘.
Musk yang terkenal di Twitter kerana sering mengeluarkan tweet kontroversi dan bersifat gurauan menyatakan bahawa kali ini beliau ‘serius‘ dan tidak bergurau dengan cadangan menukar pejabat syarikat kepada rumah gelandangan.
Terdahulu, Musk pernah bergurau dengan bertanya warga Twitter supaya mengundi untuk membuang perkataan ‘w‘ dari Twitter, di mana pilihan jawapan yang ada hanya ‘ya‘ atau ‘semestinya‘.
Selain itu, beliau turut mencadangkan beberapa perubahan kepada perkhidmatan langganan premium Twitter Blue iaitu pengurangan harga, melarang pengiklanan dan memberi pilihan pembayaran dalam mata wang kripto dogecoin.
Dalam pada itu, Bezos pada 2020 lalu pernah menukar ibu pejabat 8 tingkat Amazon di Seattle menjadi rumah gelandangan dan menyatakan inisiatif tersebut berjaya membantu para pekerjanya untuk membuat aktiviti sukarelawan.
Maka tidak hairan mengapa beliau dilihat meraikan cadangan Musk tersebut walaupun mereka dianggap seteru dalam dunia teknologi terutamanya aktiviti pelancaran roket ke angkasa.