‘Selepas beberapa kali dibiarkan dipijak, akhirnya Rusia mula memijak pula.’
Agensi berita RIA Rusia, mengesahkan bahawa sekumpulan penduduk Rusia bertindak melancarkan saman mahkamah tindakan kelas terhadap Netflix.
Saman tersebut dilaporkan telah dibuat ekoran tindakan gergasi penstriman tersebut memutuskan untuk keluar dari pasaran Rusia.
Memetik kenyataan RIA yang diambil dari firma guaman Chernyshov, Lukoyanov & Partners, firma tersebut yang mewakili kepentingan pengguna Netflix di Rusia memfailkan saman tindakan kelas terhadap perkhidmatan penstriman Amerika Syarikat (AS) itu dengan tuntutan 60 juta Rubel atau US$726,00 sebagai pampasan.
Terangnya, sebab disebalik saman tersebut adalah kerana Netlix telah melanggar hak pengguna di Rusia dengan bertindak untuk menghentikan perkhidmatannya di negara itu.
Setakat ini pihak Netflix masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan balas mengenai saman tersebut.
Umum mengetahui bahawa Netflix Inc telah mengambil keputusan untuk menggantung perkhidmatan di Rusia dan menghentikan ke semua projek akan datang di negara itu selepas kerajaan Moscow bertindak untuk menyerang Ukraine sehingga menyebabkan ribuan terkoban.
Selain Netflix, terdapat juga banyak syarikat-syarikat asing lain yang mengumumkan penggantungan kedai atau kilang di Rusia, malah ada yang bertindak untuk keluar terus dari pasaran Rusia seperti Nokia.