‘Makin ramai langgan Netflix suku lepas, nak tengok cerita apa tu?’
Gergasi penstriman, Netflix Inc menyaksikan peningkatan semula jumlah langganan penggunanya menerusi laporan pendapatan korporat bagi suku ke-3 (Q3).
Mencerap keputusan laporan tersebut, Netflix mencatat 2.4 juta pengguna baru dalam tempoh Julai sehingga September selepas mencatat penyusutan 1.2 juta untuk separuh pertama tahun 2022.
Ia menandakan jumlah langganan pengguna Netflix terkini sebanyak 223.1 juta dan ketika sesi penutupan semalam sahamnya mencanak 14%.
Ulas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Reed Hasting bahawa syarikat berasa lega jumlah pengguna bagi Q3 meningkat dan menzahirkan keyakinan satu lagi lonjakan pada suku medatang.
Ekoran itu, syarikat dengan beraninya menetapkan ramalan jumlah pengguna menjelang akhir tahun ini mencapai 4.5 juta berbanding unjuran Wall Street hanya pada 4.2 juta.
Turut dinyatakan dalam laporan tersebut adalah lonjakan pada hasil yang mengatasi unjuran pasaran sebanyak $7.9 bilion, peningkatan 6% dari tahun sebelumnya sementara pendapatan naik $3.10 sesaham.
Namun, Netflix menetapkan unjuran hasil sebanyak $7.8 bilion pada suku mendatang ekoran pengukuhan nilai dolar yang memberi kesan kepada pengguna.
Dalam pada itu, Netflix menzahirkan keyakinan bahawa pelan penstriman dengan iklan pada tanda harga $7 akan membantu syarikat bersaing dengan seterunya.
Hasting turut mengatakan sebagai perbandingan keuntungan operasi tahunan Netflix boleh mencapai $5 ke $6 bilion sementara pesaingnya boleh mencapai kerugian operasi tahunan sebanyak $10 bilion.
Setakat penulisan ini, saham Netflix dilihat turun 1.73% pada $240.86 dengan permodalan pasaran sebanyak $107.11 bilion.