Emas melemah di sekitar paras terendah satu setengah bulan pada hari Jumaat setelah mengakhiri dagangan Jun dengan mengalami suku terburuk sejak suku pertama 2021.
Ketika penulisan, logam kuning itu didagangkan pada $1,805 per auns, ditekan oleh raja mata wang US dolar yang lebih kukuh.
Terdahulu, harga emas pada mulanya melonjak seketika selepas data Amerika Syarikat menunjukkan bacaan teras indeks harga perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) meningkat 4.7% pada bulan Mei, menandakan inflasi kekal di paras tertinggi 40 tahun.
Bagaimanapun, logam berharga itu merosot semula dan memadamkan keuntungannya untuk kembali ke sekitar paras harga $1,800.
Ini mengakibatkan emas mencatatkan prestasi terburuknya pada suku kedua dengan penurunan bulanan ketiga berturut-turut, di mana pada bulan Jun sahaja ia telah jatuh sekitar 1.6%.
Walaupun emas sering dianggap sebagai lindung nilai inflasi, tetapi pendirian Federal Reserve (Fed) yang hawkish untuk terus menaikkan kadar faedah pada mesyuarat selanjutnya menyebabkan logam kuning itu melemah.