US dolar berundur lebih jauh pada hari Rabu, memberi laluan kepada kebanyakan mata wang utama lain, khususnya pound untuk lebih menyinar.
Pelabur terus menyambut baik pelantikan Rishi Sunak sebagai Perdana Menteri baharu UK yang turut menyaksikan Jeremy Hunt kekal sebagai Menteri Kewangan.
Dengan keyakinan terhadap prospek ekonomi UK yang lebih baik di bawah pentadbiran Sunak, ini memacu dagangan pound ke paras tertinggi 6 minggu berbanding dolar greenback.
Selain itu, pengukuhan pound juga disokong oleh jangkaan Bank of England (BOE) akan melaksanakan kenaikan sebanyak 75 mata asas atau lebih besar pada mesyuarat polisi minggu depan.a
Sementara itu, kelemahan US dolar turut dimanfaatkan oleh euro untuk menguat menjelang mesyuarat polisi Bank Pusat Eropah (ECB) yang akan berlangsung pada hari Khamis.
ECB dijangka secara meluas akan meningkatkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas, meningkatkan kadar pengetatan di tengah-tengah risiko kemelesetan yang meningkat dalam ekonomi.
Dalam pada itu, pelabur juga memberi tumpuan kepada mesyuarat polisi Bank of Canada (BOC) pada sesi New York hari ini (Rabu), dengan jangkaan kenaikan 75 mata asas dalam kadar faedah.
Dolar Kanada didagangkan meningkat menjelang mesyuarat tersebut, dipacu oleh kemerosotan yang dicatatkan dolar greenback.
Mata wang yen pula berjaya mencatatkan keuntungan selepas didagangkan mendatar pada sesi sebelum ini, masih memanfaatkan tindakan campur tangan Jepun dalam pasaran mata wang.