Risiko dalam pasaran kembali memudar pada sesi New York Rabu semalam menyaksikan US dolar kembali bergerak lemah gagal untuk mengekalkan momentum seperti dagangan hari sebelumnya.
Namun pelabur melihat situasi masih lagi dalam keadaan tidak menentu dengan perkembangan krisis perang Rusia-Ukraine akan terus dipantau yang boleh meningkatkan kebimbangan pada bila-bila masa sahaja.
Selain sentimen pasaran, pelabur turut memberi perhatian terhadap faktor fundamental bank pusat di mana bank pusat Kanada (BOC) semalam telah meningkatkkan kadar faedah kepada 0.50% daripada 0.25% sebelum ini seperti yang telah pasaran jangkakan.
Justeru, dolar Kanada telah pamerkan pengukuhan pada sesi New York di samping akan turut didukung oleh sentimen positif pasaran minyak mentah global dalam ketidaktentuan yang melanda.
Harga minyak mentah mencatatkan lonjakan yang kukuh ekoran kebimbangan terhadap gangguan bekalan yang dicetus oleh peperangan antara Rusia-Ukraine.
Negara-negara pengeksport petroleum (OPEC+) telah bersetuju untuk meningkatkan pengeluaran minyak kepada 400,000 tong sehari pada April. Harga minyak Brent setakat pagi ini mencapai paras harga $115.20 sementara minyak WTI naik lagi ke paras $111.30.
Untuk mata wang US dolar, pelabur mendapat petunjuk oleh Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell bahawa kenaikan kadar faedah bakal berlaku pada mesyuarat Mac pada 25 mata asas.
Faktor ini dilihat akan menyokong peningkatan US dolar sementara pemain pasaran meletakkan jangkaan untuk kenaikan kadar oleh Fed sehingga 50 mata asas. Namun, pergerakan US dolar akan dipengaruhi oleh perkembangan semasa krisis perang yang masih berlarutan.
Serangan Rusia ke atas Ukraine dilihat masih lagi tiada tanda-tanda untuk dihentikan walaupun rundingan pusingan kedua bakal diteruskan pada hari ini. Tempoh genjatan senjata bakal dibincangkan.