Ketidakpastian mengenai krisis geopolitik Rusia dan Ukraine telah membawa pergerakan turun naik yang tidak menentu dalam pasaran mata wang pada sesi Eropah.
Sebelum ini dilaporkan bahawa angkatan bersenjata Ukraine telah melepaskan serangan meriam dan bom di wilayah Republik Rakyat Luhansk (LPR), di mana pemberontak Ukraine yang disokong Rusia menuduh ia dilakukan oleh tentera kerajaan.
Berita tersebut telah mencetuskan panik dalam pasaran pada sesi Asia sehingga mendorong lonjakan drastik dagangan safe-haven dan junaman kebanyakan mata wang utama.
Namun, penafian oleh Ukraine dan berita bercampur-campur mengenai serangan tersebut menyebabkan pasaran lebih berwaspada pada pembukaan sesi Eropah.
Para pelabur kini terus mengikuti perkembangan semasa terhadap situasi di Ukraine yang mana isyarat pergerakan harga berkemungkinan akan lebih jelas pada sesi New York.
Ekoran sentimen yang dilihat lebih cenderung berisiko, US dolar mendapat permintaan sebagai safe-haven dan bergerak seiring dengan lonjakan harga emas yang kini meningkat ke paras ketinggian lapan bulan.
Mata wang euro dan pound terus didagangkan suram berikutan sentimen yang tidak menentu. Rusia sebelum ini telah mengancam bahawa mereka akan bertindak balas sekiranya UK mengenakan sekatan baharu ke atasnya berhubung konflik dengan Ukraine.
Sementara mata wang sensitif risiko, dolar Aussie dan kiwi memadamkan beberapa keuntungan yang diraih pada awal sesi Asia. Terdahulu, dolar Aussie telah meningkat susulan data pekerjaan yang positif.