Jika syarikat lain sudah mula mengorak langkah mendalami mata wang kripto, syarikat gergasi perkhidmatan kewangan PayPal juga enggan ketinggalan dalam meluaskan perkhidmatan kripto mereka ke Kesatuan Eropah (EU) dengan melancarkan pembukaan cawangan terbaru di Luxembourg.
Dimaklumkan bahawa syarikat tersebut akan membenarkan para pelanggan membeli, menjual dan memegang aset digital masing-masing dalam akaun PayPal melalui website mahupun aplikasi mudah alih.
Para pengguna juga mampu mulakan aktiviti pembelian kripto pada harga serendah €1 dengan menggunakan baki PayPal, akaun bank ataupun kad debit yang dikeluarkan oleh EU.
Namun perlu diingatkan, pengguna dapat membeli beberapa sahaja aset digital susulan PayPal hanya menyokong kripto seperti Bitcoin (BTC), Ethereum (ETH), Litecoin (LTC) serta Bitcoin Cash (BCH) pada permulaan fasa pembaharuannya.
Sementara syarikat tersebut yakin bahawa perkembangan perkhidmatannya ke Luxembourg dapat memberi kejayaan kepada PayPal untuk laksanakan mata wang digital mudah diakses berbanding syarikat lain, ulas Jose Fernnadez de Pontez, Naib Presiden Pembangunan Perniagaan Global PayPal.
Tambahnya lagi, PayPal akan sentiasa bekerjasama dengan pengawal selia serta pembuat dasar di negara itu agar dapat membangunkan masa depan kewangan serta perdagangan global melalui kripto yang kian berkembang.
Paypal juga difahamkan telah melakukan tindakan itu selepas platformnya membenarkan pemindahan kripto yang meluluskan pengeluaran BTC dan ETH ke wallet peribadi.
Umumnya, syarikat itu telah melancarkan perkhidmatan kripto pertamanya di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2020 dan seterusnya United Kingdom (UK) pada tahun lepas.