‘Youtuber akan kembali saingi TikToker lepas ni.’
Perkhidmatan YouTube Shorts milik Google mencatatkan peningkatan pertumbuhan pengguna sebanyak 1.5 bilion sejak pelancarannya 2 tahun lalu.
Ia secara tidak langsung menghantar isyarat persaingan baharu kepada aplikasi video pendek, TikTok yang memperolehi populariti luar biasa tahun lalu.
Sebagai makluman, YouTube milik Alphabet Inc telah menawarkan perkhidmatan YouTube Shorts yang akan menyiarkan video berdurasi kurang 60 saat seperti TikTok.
Ulas Ketua Pegawai Produk (CEO) YouTube, Neal Mohan, perkhidmatan Shorts mencatat sekurang-kurangnya 1.5 bilion pengguna aktif setiap bulan dan ia akan menjadi sebahagian daripada prospek masa depan syarikat.
Selain itu, Youtube juga dilihat sedang rancak mempromosikan Shorts dalam usahanya untuk bersaing dengan TikTok.
Sebagai contoh, tahun lalu syarikat telah melancarkan dana US$100 juta untuk ganjaran kepada pencipta kandungan (creators) dalam aplikasi Shorts selain bekerjasama dengan pengiklanan gergasi Silicon Valley untuk membantu creators menjana pendapatan daripada kandungan mereka.
Naib Presiden Americas Tara Walpert Levy melaporkan creators dilihat mengambil kesempatan daripada perkhidmatan podcasting, video pendek dan penstriman langsung yang ditawarkan YouTube.
Jelas sekali pendekatan baharu YouTube ini dilihat bakal menaikkan semula populariti YouTube sebagai aplikasi video paling popular suatu masa dahulu.
Dalam pada itu, Facebook Meta Platforms juga dilihat tidak duduk diam apabila melancarkan fungsi video pendeknya sendiri pada masa hadapan nanti.
Maka tidak hairan jika YouTube, TikTok dan Meta akan menjadi lubuk kepada creators untuk menjana perkhidmatan, serta membuka ruang kepada hasil pengiklanan kelak.