Securities and Exchange Commission (SEC) nampaknya sudah bersedia bertindak ‘menyerang’ platform pertukaran kripto, termasuk memantau aset stablecoins.
Semalam pengerusi SEC, Gary Gensler mendedahkan satu kerjasama antara agensinya dengan Commodity Futures Trading Commission (CFTC) sedang diusahakan untuk memastikan pendaftaran dan perlaksanaan penyeliaan ke atas platform dagangan aset sekuriti dan bukan sekuriti.
Melihat kepada perkara ini, Gensler percaya platform dagangan kripto berpusat (centralized) menjaga aset pengguna mereka, jauh berbeza dengan platform konvensional.
Figura itu kemudiannya memetik kes terdahulu: “Pada tahun lepas, lebih $14 bilion aset kripto telah dibawa lari. Saya bertanya kepada pegawai-pegawai bagaimana caranya untuk bekerjasama dengan platform tersebut, memastikan mereka beroperasi mengikut undang-undang. Ini juga melibatkan perlindungan aset pengguna, khususnya sama ada sesuai untuk diasingkan hak penjagaan tersebut.”
Tetapi, berapa lama pula usaha ini mampu direalisasikan SEC? Agensi itu sendiri tidak membentangkan garis panduan yang jelas untuk menentukan satu-satu aset kripto sebagai sekuriti atau sebaliknya.
Misalnya, XRP yang dituduh sebagai aset sekuriti sedangkan sejak pelancarannya ia tidak dikategorikan sebagai sekuriti, sama seperti status Bitcoin (BTC) dan Ethereum (ETH).
Gensler juga memetik stablecoins: USDT dan USDC.
“Dua stablecoins terbesar telah diperkenalkan di platform dagangan dan pinjaman kripto, dan pelabur runcit AS tidak memiliki hak tebus rugi terhadap kedua-duanya mengikut nilai pasaran. Di sinilah wujudnya konflik kepentingan dan persoalan integriti pasaran yang akan mendorong lebih banyak pengawasan dari agensi penyelia.”
Tidak dinafikan sejak tahun lepas lagi stablecoin menjadi persoalan besar dalam kalangan agensi penyeliaan sehinggakan pengerusi Federal Reserves, Jerome Powell sendiri menggesa perlaksanaan undang-undang yang ketat.
Barangkali ini merupakan satu usaha yang baik sejajar dengan perintah eksekutif daripada presiden AS, Joe Biden yang ditandatangani pada awal Mac.
Cuma akan mengambil masa yang lama lagi-lagi jika agensi ini berminat untuk mengkategorikan aset sekuriti dan buka sekuriti.
Yang jelas, badan-badan penyelia di negara itu sudah sedia melenyapkan kekeliruan dalam pasaran kripto.