‘Dah terbukti berkesan kenaikan kadar, jadi mungkin Fed boleh tenang-tenang sikit lepas ni.’
President Federal Reserve (Fed) cawangan Philadelphia, Patrick Harker menyuarakan pandangan bahawa sudah tiba masanya bank pusat Amerika Syarikat (AS) mengurangkan kenaikan kadar faedah.
Asas tersebut dibentang Harker dengan memetik faktor bahawa dasar monetari bank pusat tersebut kini mencapai paras pengetatan secukupnya.
Ulas beliau bahawa dalam bulan mendatang Fed dijangka mengurangkan kenaikan kadar faedah memandangkan ia sudah mencapai paras pengetatan secukupnya, berdasarkan data-data terbaru yang positif.
Tambahnya lagi, Fed mungkin akan mengekalkan kadar semasa buat seketika bagi memastikan langkah pengetatan dasar benar-benar berkesan.
Sebagai rekod, Fed melaksanakan kenaikan kadar sebanyak 75 mata asas buat kali ke-4 berturut-turut pada 2 November lalu dan membawa penanda aras ke julat sasaran 3.75% ke 4% dalam usaha membendung inflasi.
Ia merupakan kempen pengetatan dasar yang paling agresif dibuat bank pusat tersebut sejak 1980 dan ramai pegawai menyuarakan pendapat bahawa sudah tiba masanya untuk menyerdahanakan kadar.
Memetik kenyataan pegawai Fed, Lael Brainard pada Isnin bahawa sudah tiba masanya bank pusat AS memperlahankan kenaikan kadar selepas melakukan pengetatan yang banyak sebelum ini.
Malah pelabur turut bernada sama dengan mengharapkan Fed mengurangkan kenaikan kadar faedah pada mesyuarat terakhir pada 13-14 Disember ini memandangkan bacaan inflasi susut.
Bagi menyokong asas tersebut, data pekerjaan menyaksikan penambahan 261,000 pekerjaan baru pada Oktober dengan kadar pengangguran kekal rendah pada 3.7%, mencadangkan ekonomi mampu menyokong keyakinan dan perbelanjaan pengguna.