‘Goyang lutut bang Elon baca artikel ni.’
Warren Buffett kembali ke dalam senarai 5 orang terkaya dunia semasa berlaku kejatuhan mendadak dalam saham teknologi sehingga menyebabkan kekayaan beberapa orang eksekutif Silicon Valley menurun.
Memetik sumber dari Indeks Billionaires Bloomberg, nilai kekayaan Buffet naik 7.2% pada 2021 pada $116.7 bilion apabila saham syarikatnya, Bershire Hathaway Inc melonjak 5% seterusnya berjaya menempatkan dirinya dalam kalangan 5 orang terkaya dunia semula.
Sementara itu, nilai bersih bagi Elon Musk dan Jeff Bezos dilihat menurun lebih 15%.
Ranking terkini 5 orang terkaya dunia menurut Indeks Billionaires Bloomberg adalah seperti berikut:
- Elon Musk ($213 bilion)
- Jeff Bezos ($161 bilion)
- Bernard Arnault ($125 bilion)
- Bill Gates ($124 bilion)
- Warren Buffett ($115 bilion)
Ia merupakan kali pertama dalam setahun Buffett menduduki ranking tersebut, di mana pada bulan Oktober tahun lalu beliau menduduki ranking ke-11.
Selain itu, Berkshire Hathaway dikatakan telah membuat pembelian hampir 30 juta saham tambahan dalam Occidental Petroleum Corp, sebuah syarikat minyak dan gas yang berpangkalan di Houston.
Perjanjian tersebut bernilai lebih kurang $1.6 bilion, seterusnya membantu menurunkan timbunan wang tunai syarikat pada $146.7 bilion.
Dalam pada itu, pelabur dilihat cuba mengelak daripada saham teknologi dalam beberapa minggu ini ekoran prestasi merosot yang dipaparkan.
Ekoran daripada itu, indeks Nasdaq Composite jatuh 3.6% pada 7 Mac ke paras terendah dalam setahun.