US dolar menjunam selepas dikecewakan oleh kelemahan data pembukaan pekerjaan (JOLTS) dan keyakinan pengguna Amerika Syarikat yang mendorong kejatuhan mendadak hasil perbendaharaan AS.
Terbaru, pembukaan pekerjaan yang menjadi ukuran permintaan buruh jatuh sebanyak 338,000 kepada 8.827 juta pada bulan Julai, paras terendah sejak Mac 2021.
Sementara keyakinan pengguna AS pula susut lebih rendah dengan catatan 106.1 mata daripada 114.0 mata sebelumnya, dan jangkaan 116.0 mata.
Ekoran bacaan yang menyuramkan dalam kedua-dua data, US dolar terus diheret lebih rendah menyusuli penurunan dalam hasil bon AS 10 tahun kepada 4.11%, paling lemah dua minggu.
Faktor lain yang melemahkan dolar greenback ialah peningkatan sentimen pasaran, menyaksikan mata wang komoditi meningkat dan saham di Wall Street melonjak tinggi.
Penerbitan data pekerjaan ADP sektor swasta dan bacaan kedua keluaran dalam negara kasar (KDNK) AS untuk suku kedua 2023 kini menjadi fokus pelabur hari ini.
Dolar Aussie dan New Zealand masing-masing didagangkan lebih tinggi, dengan tumpuan pelabur kini terarah kepada penerbitan data Australia untuk bulan Julai.
Di samping itu, mata wang euro dan pound turut menyaksikan peningkatan berbanding greenback, pulih daripada kejatuhan yang dicatatkan sebelum ini.
Selain Australia, pelabur juga akan diperlihatkan dengan terbitan data inflasi Jerman dan Sepanyol yang mungkin boleh memberi impak kepada mata wang euro.
Sementara itu, mata wang yen jatuh lebih jauh ke paras terendah terbaru sembilan bulan dengan harga mencecah paras 147.37 berbanding US dolar sebelum mengurangkan sedikit kerugian untuk diniagakan sekitar 146.00.
Anda juga boleh mengintai peluang-peluang yang disajikan oleh INTRADAY melalui program komuniti, pendaftaran akaun trading dan bermacam-macam lagi. Untuk info lanjut, KLIK DI SINI.