“Pelabur mesti terkejut, ye la bangun-bangun tidur terus semua kripto jatuh.”
Pasaran mata wang kripto menjunam drastik apabila Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Amerika Syarikat (AS) mendakwa syarikat exchanger kripto Kraken melanggar undang-undang sekuriti AS susulan tawarkan program staking tidak berdaftar.
Dilaporkan bahawa seluruh komuniti kripto sungguh bimbang SEC akan secara tiba-tiba menghapuskan staking sepenuhnya.
Ditambah pula dengan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Coinbase, Brian Armstrong yang jangkakan SEC akan mengharamkan staking turut memberi kejutan kepada para pelabur.
Impak daripada berita tersebut, harga Bitcoin (BTC) terjun sebanyak 4.52% pada paras $21,880 dalam tempoh 24 jam terakhir manakala aliran keluar dalam pasaran kripto adalah hampir $30 bilion.
Sementara kripto kedua terbesar Ethereum (ETH) jatuh sekitar 5.93% pada zon $1,549 dan aset digital lain seperti Avalanche (AVAX) termasuk Dogecoin (DOGE) masing-masing susut melebihi 8%.
Tegas Pengerusi SEC Gary Gensler, tindakan terhadap Kraken bertujuan untuk memberi amaran kepada syarikat yang tawarkan staking kripto mestilah berdaftar serta memberi perlindungan penuh kepada pelabur.
Umum mengetahui bahawa laporan suku tahunan staking Kraken pada akhir tahun lepas mencatatkan $42 bilion, di mana 23% daripada modal pasaran seluruh kripto dipegang oleh blockchain yang menggunakan staking.
Melalui ramalan pakar industri, harga kripto mungkin akan junam secara berterusan dalam tempoh terdekat ini dan aset digital paling terkesan adalah token DeFi kerana ekosistemnya didapati memfokuskan staking.