Kebimbangan terhadap tekanan inflasi kembali meningkat di UK selepas data terbaru menunjukkan pertumbuhan gaji meningkat kukuh dalam tempoh tiga bulan hingga Jun.
Purata pendapatan tidak termasuk bonus meningkat 7.8% pada bulan Jun, berbanding 7.5% yang dicatatkan pada Mei.
Sementara purata pendapatan termasuk bonus pula melonjak 8.2% daripada 7.2% sebelumnya, pada kadar yang lebih kuat daripada anggaran penganalisis sebanyak 7.3%.
Kadar pengangguran pula menunjukkan peningkatan pada 4.2% daripada 4.0% bacaan sebelumnya dan jangkaan pasaran.
Selain itu, bilangan orang yang bekerja pula dilaporkan jatuh sebanyak 66,000 pada suku hingga Jun, penurunan terbesar sejak Ogos.
Bacaan yang lebih tinggi dalam kenaikan gaji secara tidak langsung kembali meningkatkan kebimbangan terhadap kenaikan dalam harga (inflasi) dalam ekonomi.
Bank of England (BOE) yang diketuai oleh Gabenor Andrew Bailey sebelum ini mengatakan tanda-tanda selanjutnya dalam tekanan inflasi boleh mengakibatkan satu lagi peningkatan dalam kadar faedah.
Ekoran daripada data itu, reaksi awal menunjukkan mata wang pound melonjak ke sekitar harga 1.2710 berbanding dolar greenback.