Pasaran di sesi New York semalam memaparkan pergerakan harga yang drastik susulan data inflasi Amerika Syarikat (AS) telah memberi petunjuk terbaru terhadap hala tuju dasar monetari bank pusat AS Federal Reserve (Fed).
Meneliti laporan, bacaan tahunan indeks harga pengguna (CPI) telah menurun kepada 3.2% untuk bulan Oktober daripada paras 3.7% pada September, dan juga lebih rendah berbanding ramalan 3.3%.
Ini dilihat semakin menyokong situasi untuk Fed bakal memperlahankan dasar monetari mereka selepas kadar faedah dikekalkan pada mesyuarat FOMC terbaru.
Setelah Pengerusi Fed Jerome Powell tidak memberi sebarang isyarat untuk mesyuarat terakhir pada Disember nanti, jangkaan pasaran kini dilihat akan lebih cenderung untuk kadar faedah tidak dinaikkan.
Ditambah pula dengan faktor kemerosotan pada data pekerjaan NFP terbaru (dan inflasi semalam), Fed dilihat semakin bergerak menuju ke arah langkah pelonggaran dasar pada tahun hadapan.
Disebab itu, mata wang US dolar telah menjunam ketara di sesi New York semalam susulan reaksi terhadap data inflasi diterbitkan itu.
Mata wang utama yang lain dalam pasaran akan memanfaatkan peluang ini untuk catatkan peningkatan nilai masing-masing.
Dapat diperhatikan indeks dolar telah jatuh 1.5% ke paras 104.00 mata, terendah sejak awal September lalu.
Manakala, hasil perbendaharaan 10-tahun AS terperosok ke sekitar 4.40% mengatasi paras terendah minggu lepas.
Perkembangan pasaran komoditi, dagangan emas mendapat kelebihan dengan penyusutan US dolar ketika ini apabila harga telah melonjak melepasi paras $1,950 dan mencapai ketinggian sekitar $1,970 di sesi New York.
Pasaran minyak mentah global juga dilihat pulih pada minggu ini dengan corak kenaikan harga telah dipaparkan bagi kedua-dua penanda aras WTI dan Brent.