Dolar New Zealand menjunam parah pada sesi Asia selepas Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) memberi isyarat bahawa kadar faedah sudah mencapai kemuncaknya.
Ini sekali gus menandakan bank pusat itu bersedia untuk menghentikan kitaran pengetatannya yang telah dilaksanakan sejak Oktober 2021.
Dalam keputusan dasar terbaru, RBNZ memutuskan untuk menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada 5.50%, menepati jangkaan pasaran secara meluas.
Menurut kenyataan susulan yang dikeluarkan, bank pusat itu yakin dengan kadar faedah pada tahap yang terhad untuk beberapa waktu, inflasi akan kembali ke julat sasarannya 1-3%.
Tambahnya lagi, pertumbuhan perbelanjaan pengguna telah berkurangan dan aktiviti pembinaan kediaman telah menurun, manakala harga rumah telah kembali ke tahap lebih mampan.
Ekoran itu, inflasi dijangka akan terus menurun daripada puncaknya seiring dengan jangkaan inflasi. Namun, inflasi teras akan kekal tinggi hingga kekangan kapasiti berkurangan.
Selain itu, ramalan bank menunjukkan bahawa kadar faedah tidak akan meningkat lebih tinggi, di mana pemotongan akan bermula pada suku ketiga 2024.
Ia kini mengunjurkan kelembapan ekonomi yang lebih cetek, dengan kemelesetan sederhana diramalkan akan berlaku pada suku kedua dan ketiga tahun ini.