Sesi Asia menunjukkan dagangan US dolar kembali meningkat selepas ia mengurangkan kerugian yang dicatatkan susulan keputusan Federal Reserve (Fed) sebelum ini.
Pun begitu, raja mata wang itu kekal berlegar pada sekitar paras terendah 7 minggu, melihatkan indeks dolar diniagakan pada 102.60 berbanding sekumpulan mata wang utama pada sesi Asia.
Terdahulu, Fed telah memutuskan untuk meningkatkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas, dan mengatakan inflasi kekal menjadi keutamaan bank pusat itu.
Namun, ujarnya langkah menaikkan kadar berterusan mungkin tidak lagi sesuai untuk menurunkan inflasi, menyebabkan pasaran melihat bahawa langkah pengetatan Fed semakin hampir ke penghujungnya.
Sementara itu, data tuntutan pengangguran Amerika Syarikat menunjukkan sedikit penurunan pada minggu lalu yang menunjukkan pasaran buruh kekal kukuh di ekonomi gergasi dunia itu.
Setelah pelabur mengetahui keputusan polisi bank pusat daripada Fed, Bank of England (BOE) dan Swiss National Bank (SNB), tumpuan utama kini beralih kepada data PMI pembuatan dan perkhidmatan dari Eropah dan AS pada hari ini.
Mata wang pound sedikit mengukuh selepas BOE menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada 4.25%, menyaksikan keputusan yang berbelah bahagi penggubal dasar untuk mengekalkan atau meningkatkan kadar.
Selain itu, mata wang euro pula dilihat gagal meneruskan kenaikan lebih tinggi, menyaksikannya kembali merosot dari paras tertinggi 7 minggu berbanding greenback.
Dalam pada itu, dolar Aussie dan New Zealand juga menyusut susulan kebangkitan semula US dolar pada sesi dagangan Asia.
Walaupun US dolar meningkat, tetapi yen terus melanjutkan pengukuhannya untuk mencapai paras ketinggian baharu 6 minggu berbanding greenback.
Berminat untuk mengetahui lebih mendalam mengenai pasaran mata wang? Jom sertai komuniti kami. Klik di sini untuk join.