Masih ingat pada cabaran pertarungan sangkar atau ‘cage fight’ antara pemilik X, Elon Musk dan bos Meta, Mark Zuckerberg?
Ia mungkin akan menjadi kenyataan tidak lama lagi, selepas Musk memberitahu bahawa pertarungan tersebut akan disiarkan secara langsung di platform X yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter.
Malah, menurut Zuckerberg, tarikh yang dicadangkan adalah pada 26 Ogos dalam catatannya di platform Threads.
Walau bagaimanapun, timbul pula persoalan mengenai sama ada pertarungan tersebut akan terjadi berikutan kenyataan terbaru daripada Elon Musk pada hari Isnin.
Musk memberitahu mengenai kemungkinan bahawa beliau perlu menjalani pembedahan dan merancang untuk menerima MRI pada leher dan bahagian atas belakangnya.
Exact date is still in flux. I’m getting an MRI of my neck & upper back tomorrow.
May require surgery before the fight can happen. Will know this week.
— Elon Musk (@elonmusk) August 7, 2023
Idea tentang pertarungan antara kedua-dua jutawan itu bermula pada Jun lalu, di mana Musk membalas tweet yang mengatakan kesediaannya untuk bertarung sekiranya Zuckerberg mahu.
Bertindak balas kepada tweet itu, Zuckerberg pula menyahut cabaran tersebut di Instagram Story beliau.
Persoalan mengenai sama ada Musk dan Zuckerberg akan benar-benar bertarung sebenarnya masih belum jelas. Namun, pengikut mereka pastinya teruja untuk menyaksikan pertarungan tersebut jika ia berlaku.