Harga emas kekal berlegar sekitar harga yang sama ketika pasaran bersiap siaga menantikan terbitan data-data penting dan mesyuarat polisi bank pusat.
Pada sesi Asia, logam kuning itu diniagakan sedikit berubah pada $1,925 per auns, tidak jauh dari puncak tertinggi 9 bulan yang dicapainya minggu lalu pada $1,949 per auns.
Logam berharga itu sebelum ini sedikit menyusut di tengah-tengah tarikan yang meningkat untuk dolar greenback pada permulaan dagangan awal minggu.
US dolar mencatat keuntungan sederhana pada sesi dagangan terdahulu, sebelum sedikit menyusut pada sesi Asia hari ini.
Pelabur kini lebih berwaspada menjelang mesyuarat polisi Federal Reserve (Fed) yang mana buat masa ini, jangkaan kekal melihat bank pusat itu akan menaikkan kadar sebanyak 25 mata asas.
Pada masa yang sama, pasaran juga menantikan keluaran data pekerjaan NFP Amerika Syarikat pada hari Jumaat yang bakal menentukan tahap kesihatan ekonomi gergasi itu.
Sebelum itu data pekerjaan ADP akan dikeluarkan terlebih dahulu pada Rabu yang pastinya bakal dijadikan petunjuk oleh pelabur untuk laporan NFP.