Kejatuhan drastik dalam saham Farm Fresh sejak Jumaat lalu dikatakan terpengaruh oleh pengumuman oleh Bega Group Australia awal minggu ini.
Terdahulu, Bega memberi amaran bahawa ia mungkin berdepan kemerosotan bukan tunai antara A$180 juta hingga A$280 juta disebabkan kejatuhan dalam jumlah pengeluaran susu dan peningkatan harga bahan tenusu.
Ini telah mencetuskan kebimbangan terhadap risiko yang mungkin turut menjejaskan pengeluaran Farm Fresh, sekali gus mendorong harga sahamnya jatuh mendadak, menurut syarikat itu dalam pemfailannya kepada Bursa Malaysia.
Namun, dalam kenyataan yang dibuat secara sukarela itu, ia menjelaskan bahawa ia kurang terkesan berbanding Bega Group walaupun penurunan harga susu farmgate yang lebih rendah daripada dijangkakan.
Hal ini kerana, syarikat tenusu itu hanya membeli kira-kira 14% daripada jumlah ramuan susu daripada petani pihak ketiga di Australia.
Tambahnya lagi, 70% daripada susu mentah yang digunakan berasal dari ladangnya sendiri di Malaysia dan Australia.
Susulan kejatuhan mendadak dalam saham Farm Fresh, RHB Research menurunkan penarafannya terhadap syarikat itu daripada ‘buy’ kepada ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) pada RM1.23 daripada RM1.72 sebelumnya.
Ketika penulisan, saham Farm Fresh kekal didagangkan suram dengan susut sebanyak 3.5% ke sekitar harga RM1.10.