Pesanan baharu untuk barangan modal buatan AS dilaporkan jatuh pada bulan Disember, manakala penghantaran pula merosot untuk bulan kedua berturut-turut, menunjukkan bahawa kos pinjaman yang lebih tinggi kini semakin menekan industri pembuatan.
Pesanan untuk barangan modal bukan pertahanan tidak termasuk pesawat, susut 0.2% bulan lepas, kata Jabatan Perdagangan pada hari Khamis. Pesanan barangan modal teras ini tidak berubah pada bulan November.
Ahli ekonomi yang ditinjau oleh Reuters dalam masa yang sama juga telah meramalkan pesanan barangan modal teras jatuh 0.2%. Pesanan barangan modal teras meningkat 8.3% pada asas tahun ke tahun pada bulan Disember.
Kadar faedah yang lebih tinggi mengurangkan permintaan untuk barangan, yang kebanyakannya dibeli secara kredit. Peningkatan nilai dolar pada masa lalu dan permintaan global yang lemah juga menjejaskan pembuatan, yang menyumbang 11.3% daripada ekonomi A.S. Di samping itu, perbelanjaan juga beralih kembali kepada perkhidmatan.
The Fed pada tahun lepas menaikkan kadar dasarnya sebanyak 425 mata asas daripada hampir sifar kepada julat 4.25%-4.50%, yang tertinggi sejak akhir 2007.
Penghantaran barang modal teras turun 0.4% selepas susut 0.2% pada bulan November. Penghantaran barang modal teras digunakan untuk mengira perbelanjaan peralatan dalam ukuran keluaran dalam negara kasar. Perbelanjaan perniagaan untuk peralatan menguncup pada suku keempat
Kejatuhan dalam tempahan pesanan baharu adalah rentetan daripada kenaikan kadar faedah yang menghimpit pihak industri dan pengguna. Pasaran kini memberi tumpuan pada kenyataan yang bakal dikeluarkan oleh FOMC pada minggu hadapan.