US dolar kembali meningkat selepas disokong oleh data jualan runcit Amerika Syarikat yang lebih baik daripada dijangkakan pada bulan Julai.
Jualan runcit AS melonjak 0.7% pada bulan lepas berbanding 0.4% dijangkakan, menunjukkan permintaan kekal berdaya tahan walaupun selepas langkah kenaikan kadar agresif oleh Federal Reserve (Fed).
Pun begitu, indeks pembuatan Empire State sangat lemah dengan catatan kejatuhan 19.0 pada bulan Ogos daripada peningkatan 1.1 yang dicatatkan sebelumnya.
Ini membuatkan indeks dolar menyusut pada awalnya ke paras 102.80 sebelum meningkat semula ke sekitar harga 103.20 berbanding sekumpulan mata wang utama.
Penyusutan tersebut turut mengikuti kemerosotan dalam hasil perbendaharaan AS 10 tahun pada 4.18% sebelum melantun semula ke paras 4.20%.
Pasaran kini lebih berhati-hati dengan penerbitan laporan minit mesyuarat FOMC pada awal pagi nanti (Khamis 2.00 pagi) kini menjadi tumpuan utama.
Beralih ke pergerakan mata wang utama lain, pound didagangkan sedikit berubah pada sekitar 1.2700 selepas gagal mengekalkan keuntungan yang dicatatkan pada sesi terdahulu.
Mata wang itu meraih sokongan untuk meningkat daripada data pertumbuhan gaji UK yang lebih kukuh daripada jangkaan. Pelabur kini memberi tumpuan kepada keluaran data inflasi UK pada sesi Eropah hari ini.
Sementara itu, euro juga didagangkan tidak banyak berubah dengan harga terus berlegar pada sekitar paras terendah berbanding greenback.
Dolar Aussie dan New Zealand pula susut lebih rendah ke paras terlemah terbaru sejak November menjelang mesyuarat dasar Reserve Bank of New Zealand (RBNZ).
Dolar Kanada pula didagangkan merosot walaupun data inflasi Kanada menunjukkan peningkatan 0.6%, dan 3.3% pada asas tahunan pada bulan Julai.
Yen pula terus melemah di paras terendah sejak November di tengah-tengah harapan pelabur untuk langkah campur tangan oleh Bank of Japan (BOJ).
Anda juga boleh mengintai peluang-peluang yang disajikan oleh INTRADAY melalui program komuniti, pendaftaran akaun trading dan bermacam-macam lagi. Untuk info lanjut, KLIK DI SINI.