Harga emas kecundang lebih jauh ke paras terendah tiga minggu di tengah-tengah dagangan US dolar dan hasil bon AS 10 tahun yang kukuh.
Logam kuning itu merosot ke paras terlemah sekitar $1,940 pada sesi terdahulu sebelum mengurangkan sedikit kerugiannya untuk didagangkan pada $1,948 ketika sesi Asia hari ini.
Walaupun data PMI pembuatan Amerika Syarikat yang dikeluarkan suram pada sesi New York, namun emas gagal memanfaatkannya untuk meraih keuntungan.
Kemerosotan dalam data pembukaan pekerjaan (JOLT) AS pula menunjukkan pasaran buruh terus perlahan pada bulan Jun.
Namun, pada awal dagangan sesi Asia dapat dilihat harga emas dibuka sedikit lebih tinggi yang mungkin didorong oleh laporan Fitch Ratings yang menurunkan penarafan kredit AS.
Dalam pada itu, Majlis Emas Dunia (WGC) melaporkan permintaan emas global tidak termasuk dagangan di kaunter (OTC) jatuh 2% tahun ke tahun pada suku kedua 2023.
Ia susulan pengurangan pembelian oleh bank pusat dan penggunaan oleh sektor teknologi yang kekal lemah.
Pelabur seterusnya mengalihkan tumpuan kepada penerbitan data pekerjaan ADP sektor swasta AS untuk bulan Julai yang bakal menjadi petunjuk kepada laporan NFP pada Jumaat.
Anda juga boleh mengintai peluang-peluang yang disajikan oleh INTRADAY melalui program komuniti, pendaftaran akaun trading dan bermacam-macam lagi. Untuk info lanjut, KLIK DI SINI.