- USD gagal meningkat lepas minit FOMC
- Dolar Aussie pertahan pengukuhan
- Tumpuan pada data ADP pekerjaan AS
Dolar bergelut untuk menyambung pengukuhan pada Khamis walaupun Federal Reserve (Fed) mengulangi komitmennya untuk memerangi inflasi.
Minit mesyuarat polisi Fed yang dikeluarkan awal pagi tadi menunjukkan bahawa para penggubal dasar setuju untuk memperlahankan kenaikan kadar agresif.
Namun, bank pusat itu masih menumpukan usaha kepada mengekang inflasi dan menjangkakan kadar faedah yang tinggi akan kekal untuk beberapa waktu.
Fed juga menekankan keperluan fleksibiliti dalam perubahan dasar yang bermakna kenaikan kadar boleh menjadi lebih kecil atau besar bergantung pada data.
Bagaimanapun disebabkan jangkaan kenaikan kadar lebih kecil pada tahun ini, US dolar gagal mempamerkan reaksi ketara susulan terbitan laporan tersebut.
Sementara itu, dolar Aussie mengekalkan momentum pengukuhannya pada sesi Asia walaupun keuntungan yang dicatat sebelum ini sedikit berkurang.
Terdahulu, mata wang antipodean itu melonjak tinggi selepas disokong oleh laporan bahawa China sedang mempertimbangkan untuk membatalkan sebahagian sekatan ke atas import arang batu Australia.
Melihat perkembangan mata wang Eropah, euro terus bangkit dari paras terlemah 3 minggu yang disentuhnya pada Selasa dengan didagangkan pada 1.0600 berbanding USD.
Pound pula diniagakan stabil selepas memadamkan kerugian yang ditanggungnya pada Selasa, tetapi kenaikan yang dicatatkan terhad di tengah-tengah kebimbangan terhadap kemelesetan UK.
Di sisi lain, dolar Kanada memaparkan pergerakan harga yang mengejutkan dengan melonjak tinggi berbanding greenback walaupun harga minyak mentah merudum.
Tumpuan pasaran kini beralih pula kepada keluaran data pekerjaan ADP sektor swasta Amerika Syarikat pada sesi New York yang bakal dijadikan petunjuk angka NFP pada Jumaat.