US dolar sedikit merosot pada sesi Eropah, namun kekal stabil pada sekitar paras tertinggi enam bulan berbanding kebanyakan mata wang utama.
Ini diperlihatkan pada indeks dolar yang mengukur prestasi dolar greenback masih bertahan di atas paras harga 105.00.
Pergerakan pasaran secara keseluruhannya masih perlahan memandangkan pelabur menantikan acara tumpuan minggu ini iaitu mesyuarat polisi dari 4 bank pusat.
Federal Reserve (Fed) bakal memulakan mesyuarat dua harinya pada malam ini yang akan berakhir dengan keputusan kadar faedah pada awal pagi Khamis.
Menurut CME FedWatch Tools, pasaran masih menjangkakan Fed akan mengekalkan kadar faedahnya tidak berubah, namun kenyataan susulan Pengerusi Jerome Powell bakal dijadikan panduan.
Dalam pada itu, yen kembali menguji paras terlemah 10 bulan pada 147.89 berbanding greenback ketika pelabur mengharapkan Bank of Japan (BOJ) akan keluar daripada dasarnya yang longgar pada mesyuarat polisi hari Jumaat.
Mata wang pound pula kekal terperangkap pada paras terendah 3 bulan berbanding US dolar menjelang terbitan data inflasi UK pada Rabu yang dijangkakan akan kembali meningkat pada bulan Ogos.
Sehari selepas itu, Bank of England (BOE) pula akan mengadakan mesyuarat yang dijangka mungkin menjadi langkah kenaikan kadar faedah terakhir oleh bank pusat.
Sementara itu, dolar Aussie dan New Zealand sedikit meningkat susulan penyusutan US dolar pada awal sesi Eropah. Keputusan kadar pinjaman utama (LPR) China pada pagi esok akan menjadi tumpuan pelabur yang boleh menjadi penggerak kedua-dua mata wang itu.
Di sisi lain, dolar loonie memperpanjangkan pengukuhan ke paras ketinggian terbaru lima minggu berbanding US dolar menjelang terbitan data inflasi Kanada malam ini.
Pengukuhan loonie disokong oleh harga minyak yang mencatat paras terkuat baharu 10 bulan, di mana penanda aras minyak mentah Brent meningkat lebih tinggi pada $95.25 setong manakala WTI AS pula mengukuh pada $92.46 setong.
Anda juga boleh mengintai peluang-peluang yang disajikan oleh INTRADAY melalui program komuniti, pendaftaran akaun trading dan bermacam-macam lagi. Untuk info lanjut, KLIK DI SINI.