Microsoft telah mengumumkan versi baharu enjin cariannya Bing, yang dikuasakan oleh teknologi AI yang sama menyokong chatbot ChatGPT.
Syarikat itu melancarkan produk itu bersama ciri baharu yang dikuasakan AI untuk pelayar Edgenya, menjanjikan bahawa kedua-duanya akan memberikan pengalaman baharu untuk melayari dan mencari maklumat dalam talian.
Langkah itu dilihat akan menjadi ancaman terbesar buat Google yang baharu sahaja mengumumkan senjata AI baharunya, Bard.
Melalui penambahbaikan tersebut itu, Bing akan membalas pertanyaan carian dengan jawapan yang lebih terperinci iaitu bukan hanya pautan ke laman web.
Pengguna juga boleh bersembang dengan bot untuk menyesuaikan pertanyaan mereka dengan lebih baik, di mana lebih banyak jawapan sesuai akan ditambahkan di sebelah kanan halaman carian.
Dalam pada itu secara berasingan, Microsoft dilaporkan sedang merancang untuk mengeluarkan perisian bagi membantu syarikat besar mencipta chatbot mereka sendiri sama seperti ChatGPT.
ChatGPT dibangunkan oleh OpenAI yang disokong oleh Microsoft, yang menggunakan teknik deep learning untuk menjana respons seperti manusia kepada permintaan carian.