“Pelabur jangan terburu-buru, berfikir dulu sebelum nak buat apa-apa.”
Pengarang terkemuka Rich Dad Poor Dad, Robert Kiyosaki yang berjaya menjual lebih 32 juta cetakan buku dalam 51 bahasa di 109 negara itu mengulangi amarannya kepada para pelabur tentang kejatuhan kesemua pasaran termasuklah kripto.
Menerusi kenyataan Kiyosaki dalam akaun Twitter miliknya, Bitcoin (BTC), emas termasuk perak bakal mengalami kejatuhan drastik ditambah pula dengan 144,000 individu dalam industri teknologi kehilangan pekerjaannya pada 2022 dan 66,000 lagi pada tahun ini.
Meskipun begitu, Kiyosaki berkata bahawa pelabur tidak perlu panik sambil menambah beliau akan mengambil peluangnya mengaut sejumlah aset digital jika harganya mencapai paras terendah baharu.
Dilaporkan juga beliau tidak mempercayai pentadbiran Biden, Perbendaharaan, Federal Reserve (Fed) atau Wall Street dengan menyebut dolar AS adalah wang palsu manakala BTC, emas termasuk perak ialah wang sebenarnya.
Pada Oktober tahun lalu, Kiyosaki menasihati pelabur untuk membeli emas, perak serta aset digital tersebut susulan beranggapan pasaran saham, bon dan hartanah akan jatuh disebabkan kenaikan kadar faedah secara berterusan oleh Fed.
Beliau turut meramalkan dolar AS akan jatuh sementara menegaskan kepada orang ramai bahawa kemelesetan global kini sudah terjadi ekoran terdapat peningkatan kebankrapan, pengangguran dan kehilangan tempat tinggal.
Rentetan itu, Kiyosaki pada September tahun lalu bukan sahaja menggesa pelabur membeli kripto sebelum pasaran menghadapi kemalangan terbesar dalam sejarah dunia malah memberi amaran bahawa Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) AS akan sedaya upaya menghancurkan aset digital.