- Pasaran masih menantikan petunjuk jelas dalam pasaran
- Data ekonomi UK jadi tumpuan pada sesi Eropah
- US dolar dapat manfaat daripada hasil bon AS yang lebih tinggi
Sesi Asia menyaksikan dagangan mata wang sedikit berubah ketika pasaran menuju ke penghujung minggu.
Indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding sekumpulan mata wang utama diniagakan pada sekitar harga 103.30 pada awal sesi Asia.
Raja mata wang itu dilihat mengetepikan data tuntutan pengangguran Amerika Syarikat yang mengecewakan, sebaliknya memanfaatkan sokongan daripada hasil bon AS 10 tahun yang lebih kukuh di paras tertinggi 5 minggu.
Tuntutan pengangguran AS yang dikeluarkan pada sesi New York sebelum ini, tanpa dijangka meningkat lebih tinggi daripada dijangkakan pada minggu lalu.
Mata wang pound pula menokok tinggi pada sesi Eropah sebelum kembali mengurangkan keuntungannya pada sesi Asia hari ini.
Beberapa penggubal dasar Bank of England (BOE) telah memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Pilihan Perbendaharaan UK, di mana Gabenor Andrew Bailey, Ketua Ekonomi Huw Pill dan penggubal dasar Jonathan Haskel menjangkakan inflasi akan turun dengan cepat tahun ini.
Tumpuan kini disasarkan kepada penerbitan data keluaran dalam negara kasar (KDNK) UK untuk bulan Disember dan suku keempat 2022.
Euro pula kekal berlegar pada sekitar harga yang sama, gagal memberi reaksi ketara daripada data inflasi Jerman yang tanpa dijangka meningkat lebih rendah daripada jangkaan pada Januari.
Dalam pada itu, dagangan yen berdepan ketidakpastian menjelang pengumuman pengganti Gabenor Bank of Japan (BOJ) Haruhiko Kuroda pada minggu depan.
Di sisi lain, dolar Aussie dan kiwi kembali merosot daripada keuntungan yang diraih pada Khamis.