Syarikat Google memaklumkan pada hari Jumaat bahawa mereka akan memberhentikan 12,000 orang daripada tenaga kerjanya. Secara tidak langsung ini, Google kini termasuk dalam sejumlah syarikat teknologi A.S. yang mengambil bahagian dalam pengurangan pekerja di tengah-tengah kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi.
Sundar Pichai, Ketua Pegawai Eksekutif Google, berkata dalam e-mel yang dihantar kepada kakitangan syarikat pada hari Jumaat bahawa firma itu akan mula membuat pemberhentian di A.S. secara serta-merta. Di negara lain, proses itu “akan mengambil masa yang lebih lama kerana undang-undang dan amalan tempatan,” katanya.
Syarikat teknologi sedang menghadapi pelbagai cabaran pada masa ini, tidak kurang juga peningkatan kadar faedah dan inflasi sepanjang tahun lalu yang telah menjejaskan saham teknologi dan memaksa pengiklan mengurangkan perbelanjaan iklan dalam talian.
Kenaikan kepada kadar faedah daripada Rizab Persekutuan A.S. khususnya telah menyebabkan selera pelabur terhadap saham teknologi Amerika merosot. klim makroekonomi yang suram telah memberi tekanan kepada syarikat tersebut untuk mengurangkan tenaga kerja mereka.
Pada hari Rabu, Amazon memulakan gelombang baru pengurangan pekerjaan yang menjejaskan lebih 18,000 orang. Pada hari yang sama, Microsoft mengumumkan rancangan untuk memberhentikan 10,000 pekerja.
Twitter, di bawah pimpinan Elon Musk, juga telah membuat pemberhentian kerja, mengurangkan separuh daripada jumlah pekerja syarikat sejak mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif lewat tahun lepas.