Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) berkata inisiatif pengeluaran skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sepanjang tempoh COVID-19 telah menyebabkan lebih 90% ahli pekerja swasta di bawah usia 30 tahun tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk bersara.
Mengikut anggaran KWSP, seseorang individu perlu mempunyai minimum RM35,000 menjelang umur 30 tahun untuk mencapai simpanan asas persaraan RM240,000 menjelang umur 55 tahun.
KRI menerusi laporan ‘The State of Households 2024: Households and the Pandemic 2019-2022’ (SoH 2024) berkata data caruman ahli KWSP dari 2019 hingga 2022 menunjukkan hanya 10% teratas dalam kategori umur 30 tahun ke bawah mempunyai lebih RM35,000.
Purata simpanan 10% teratas pada 2022 ialah RM49,061.
Katanya lagi, ini menyerlahkan isu struktur gaji permulaan yang rendah dalam kalangan mereka yang mula memasuki pasaran pekerjaan kerana mereka tidak dapat mencapai caruman asas KWSP untuk persaraan.
Ia mendapati bahawa mereka yang berumur di bawah 30 tahun kurang terkesan oleh pengeluaran KWSP semasa pandemik Covid-19 kerana mereka biasanya mempunyai komitmen kewangan yang lebih rendah dari segi pinjaman dan tanggungan.
Mereka juga menekankan bahawa individu yang menghampiri umur persaraan dan seterusnya mungkin menghadapi masalah yang lebih besar seperti risiko kesihatan dan hilang upaya di samping kehabisan simpanan persaraan mereka. – Berita Harian