Sebelum menutup dagangan pada penghujung minggu lalu, pasaran memberi tumpuan terhadap data indeks harga PCE yang mengukur perbelanjaan peribadi pengguna di Amerika Syarikat (AS) pada sesi terakhir tersebut.
Bacaan data adalah baik dengan angka yang menepati ramalan pasaran dengan perbelanjaan pengguna pada Julai dilihat meningkat.
Situasi ini meningkatkan kecenderungan bahawa jangkaan untuk pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) jika dilaksanakan adalah pada kadar yang lebih kecil, iaitu 25 mata asas berbanding 50.
Pada minggu ini pula, data pekerjaan AS akan menjadi petunjuk penting untuk dinilai sebelum pasaran bersiap sedia untuk mesyuarat FOMC September yang dinanti-nantikan.
Sementara itu, US dolar telah menunjukkan corak pemulihan positif pada minggu lalu, mencatatkan kenaikan mingguan terbesar sejak dagangan Jun.
Pengukuhan US dolar juga turut disokong oleh laporan pertumbuhan ekonomi AS yang mencatatkan angka yang memberangsangkan bagi bacaan kedua sekaligus mengurangkan jangkaan pelonggaran dasar yang agresif oleh Fed.
Penganalisis telah memberi amaran awal terhadap jangkaan perubahan corak pergerakan US dolar tersebut yang menghampiri dagangan penutup Ogos.
Aktiviti pengambilan untung (profit taking) oleh pemain pasaran dijangkakan untuk berlaku setelah US dolar mempamerkan prestasi merosot yang berterusan beberapa minggu sebelumnya.
Pergerakan pasaran di awal minggu ini dijangka perlahan dengan ketiadaan data-data ekonomi utama untuk memacu mata wang selain pasaran Amerika juga ditutup sempena Hari Buruh.
Para pelabur juga kekal berhati-hati dengan mod tunggu-dan-lihat pada pembukaan dagangan awal September ini.