“Rilek semua, baru jatuh sikit je, mungkin minggu depan naik balik ke.”
Gagal meneruskan pendakian lebih tinggi, harga raja mata wang kripto Bitcoin (BTC) berlegar-legar di bawah $63,600 setelah Jabatan Buruh Amerika Syarikat (AS) semalam menunjukkan tuntutan pengangguran meningkat pada 1.867 juta.
Kemerosotan harga BTC turut tercetus disebabkan saham teknologi tersenarai di AS yang terjejas sejurus selepas Bloomberg melaporkan AS sedang menganalisis peraturan bagi mengawal eksport teknologi yang paling penting pada Artificial Intelligence (AI).
Menurut Jim Covello, ketua penyelidikan ekuiti Goldman Sachs berkata kegilaan pelaburan AI dapat membawa pada economic bubble susulan pelaburan AI melihat pulangan sederhana dengan Microsoft, Google dan Amazon hanya jana 7% daripada pertumbuhan jualan perkhidmatan cloud pada AI.
Para pelabur kripto juga memberi perhatian pada mesyuarat Bank Pusat Eropah (ECB) malam semalam yang memutuskan bagi mengekalkan kadar faedah utama, di mana 4.25% untuk operasi pembiayaan semula utama, 4.5% untuk kemudahan pinjaman marginal dan 3.75% untuk kemudahan deposit.
Perlu diketahui pula International Monetary Fund (IMF) yang mengesyorkan Federal Reserve (Fed) tidak seharusnya mengurangkan kadar faedah sehingga akhir 2024 telah menyebabkan jangkaan pemotongan kadar faedah seawal bulan depan semakin berkurangan.
Ketua Ekonomi IMF Pierre-Olivier Gourinchas menekankan keperluan untuk berhati-hati susulan kadar semasa Fed masih berada pada paras tertinggi bersejarah 5.50% dan pemotongan pramatang boleh berisiko melonjakkan inflasi selanjutnya.
Jadi di sini dapat dilihat keputusan Fed untuk mengikuti petunjuk ECB dalam mengekalkan kadar faedah stabil boleh mempunyai implikasi ketara terhadap pasaran kripto terutamanya BTC yang juga boleh terkesan dalam jangka pendek disebabkan pendirian IMF itu.
Sehingga berita ini ditulis, harga BTC menjunam sebanyak 1.35% pada paras $63,783 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $1.2 trilion tetapi masih mencatatkan kenaikan 12.12% sepanjang minggu lepas.