Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh 5.9% pada suku kedua 2024 selepas merekodkan pertumbuhan 4.2% pada suku sebelumnya.
Ketua Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir berkata pertumbuhan ekonomi negara pada suku kedua ini didorong terutamanya oleh peningkatan ketara dalam perbelanjaan isi rumah dan pasaran buruh yang kukuh.
Peningkatan perbelanjaan penggunaan isi rumah dirangsang oleh musim perayaan dan cuti sekolah, pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 pada April 2024 serta pengeluaran Akaun 3 (Akaun Fleksibel) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Selain itu, faktor seperti kemasukan pelancong yang ketara, peningkatan pelaburan modal tetap dan kemajuan projek berskala besar bagi pusat data telah memberi kesan positif kepada ekonomi Malaysia.
Pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua tahun 2024 didorong terutamanya oleh sektor Perkhidmatan dan Pembuatan.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Julai berkata negara telah berjaya memecahkan ‘tembok kerungsingan’ apabila mencatatkan pertumbuhan ekonomi 5.8 peratus pada suku kedua 2024.
Menurut beliau, pertumbuhan yang menakjubkan itu merupakan angka luar biasa kerana melebihi unjuran yang dikemukakan oleh semua pihak. – Astro Awani