“Hmm BTC sekarang macam mendatar je walaupun ada berita baik atau buruk.”
Berlegar-legar di bawah $64,000, harga raja mata wang kripto Bitcoin (BTC) yang terkesan sedikit apabila yen Jepun merudum ke paras terendah baharu dalam 34 tahun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) telah menyebabkan para pelabur semakin memberi perhatian terhadap situasi tersebut.
Hal ini kerana pasaran kripto mampu melihat impak positif jika Bank of Japan (BOJ) bertindak menjual dolar AS bagi membeli yen, jadi di sini dapat dilihat kelemahan dolar AS dapat mendorong harga aset digital naik lebih tinggi.
Menurut Quinn Thompson, pengasas Lekker Capital berkata campur tangan daripada pembuat dasar AS yang berhasrat menyuntik liquidity ke dalam ekonomi juga dapat mencetuskan pendakian pada harga kripto.
Pun begitu, turun naik pasaran kripto boleh berlaku susulan perhatian pelabur kini akan tertumpu pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) paling dinanti-nantikan yang akan berlangsung pada awal pagi Khamis minggu ini.
Menerusi pemerhatian, terdapat kebarangkalian 97.6% untuk Federal Reserve (Fed) mengekalkan kadar faedah tidak berubah manakala pakar pasaran kripto menjangkakan kelewatan selanjutnya dalam pemotongan kadar faedah.
Bukan itu sahaja, beberapa ekonomi utama lain seperti pengeluaran data Defisit Perdagangan dan Produktiviti termasuk laporan pekerjaan AS pada 3 Mei 2024 pada minggu ini turut akan jadi petunjuk penting kepada pelabur kripto tentang keadaan ekonomi AS.
Umum mengetahui spot BTC ETF baru-baru ini telah mengalami pergerakan tidak menentu yang agak ketara dalam aliran bersih susulan ETF melihat aliran keluar bersih mingguan besar kira-kira $328 juta yang juga menjadi punca harga BTC menurun semula.
Bagaimanapun, seorang penganalisis menjangkakan pengumuman pembiayaan semula suka tahunan (QRA) pada minggu depan daripada Setiausaha Perbendaharaan AS Janet Yellen untuk menawarkan bantuan pada aset lebih berisiko akan bantu harga kripto termasuk BTC pulih semula.
Sehingga berita ini ditulis, harga BTC menjunam sebanyak 0.64% pada paras $63,171 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran lebih $1 trilion seterusnya merekodkan kejatuhan 2.72% sepanjang minggu lepas.