Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini telah mengisytiharkan 2024 sebagai satu tahun bersejarah bagi Malaysia, dengan pencapaian luar biasa dalam hubungan antarabangsa.
Dalam satu hantaran Facebook, beliau memaklumkan bahawa Malaysia telah berjaya meraih pelaburan yang tinggi bernilai RM115.2 bilion dan mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan global yang dihormati, memperjuangkan keadilan dan keseimbangan dunia.
Sepanjang tahun 2024, Anwar telah mengadakan lawatan rasmi ke 15 negara dan menerima sebanyak 35 kunjungan delegasi antarabangsa.
Pelaburan terbesar datang dari Jerman (RM46 bilion), Korea Selatan (RM32.8 bilion), dan Australia (RM24.5 bilion), membuka peluang dan jalan baru buat Malaysia untuk memimpin ASEAN menuju masa depan yang lebih inklusif dan lestari pada 2025.
Dengan sokongan antarabangsa yang kukuh, Malaysia melangkah ke tahun baharu dengan keyakinan penuh untuk memacu kemakmuran bersama.