Malaysia dan Kuwait mempunyai pandangan sejajar berkenaan isu peperangan yang berlarutan di Timur Tengah sehingga ke hari ini.
Kedua-dua negara bersetuju konflik yang melanda Asia Barat itu berakhir dengan segara dengan negara yang terlibat dengan perang seharusnya berusaha untuk rundingan damai dan patuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Malaysia dan Kuwait juga sedang bersedia untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pertahanan yang boleh mewujudkan kepentingan bersama bagi kedua-dua negara.
Perkara tersebut dipersetujui ketika Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled mengadakan kunjungan hormat ke Kuwait yang disambut baik oleh Timbalan Perdana Menteri, Sheikh Fahad Yousef Saud Al-Sabah yang juga merupakan Menteri Pertahanan negara itu.
Mohamed Khaled tiba di Kuwait pada Ahad untuk lawatan kerja rasmi bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan dua hala antara dua negara selain delegasi turut melawat Pangkalan Udara Ahmed Al-Jaber.
Selain itu juga, pelbagai kerjasama yang dibincangkan dari segi penyelidikan dan pembangunan, pertukaran latihan pegawai tentera begitu juga perkongsian teknologi dan inovasi.
Kedua-dua negara juga telah bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi memulakan rundingan pembelian pesawat F/A-18 Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF) untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Walaupun Kuwait menunjukkan reaksi positif berkenaan permohonan pembelian aset oleh Malaysia itu, namun situasi akan bergantung kepada persetujuan negara pembekal serta penyerahan aset udara baharu untuk Kuwait.
Pesawat tempur Legacy Hornet itu dilihat amat sesuai untuk kegunaan TUDM selain menjadi keperluan dalam mempertingkatkan keupayaan pertahanan udara Malaysia.
Jika perolehan pesawat Kuwait itu tidak berjalan dengan lancar, Malaysia terpaksa memulakan proses untuk mencari pesawat lain yang mungkin akan mengambil masa lebih tiga hingga 4 tahun mendatang.