“Bertenang semua, mungkin FOMC yang seterusnya baru BTC nak naik?”
Harga raja mata wang kripto Bitcoin (BTC) menembusi hampir $70,000 apabila terbitan data Indeks Harga Pengguna (CPI) Amerika Syarikat (AS) malam semalam menunjukkan penurunan 3.3% berbanding jangkaan 3.4%.
Namun, harga BTC yang gagal mengekalkan kedudukannya telah merosot semula sehingga $67,244 apabila mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada pukul dua pagi tadi melihat kadar faedah tidak berubah biarpun tekanan politik kian meningkat.
Memang tidak dinafikan FOMC telah mengekalkan penanda aras julat dana pada 5.25% sehingga 5.50%, tetapi tinjauan ekonomi pada masa ini mengunjurkan satu pemotongan kadar sebanyak 25 mata asas pada tahun ini.
Suka dimaklumkan bacaan inflasi lebih rendah adalah isyarat kepada pasaran lebih luas bahawa Federal Reserve (Fed) semakin hampir pada sasaran inflasinya 2% dan ini membawa makna bank pusat AS akan bersedia menukarkan kadar faedah dasarnya kembali ke tahap standard.
Menerusi pemerhatian, jangkaan median Fed bagi kadar dana pada akhir tahun 2024 adalah 5.1% berbanding 4.6% tiga bulan lalu, jadi di sini dapat dilihat bank pusat AS menjangkakan terdapat satu pemotongan kadar 25 mata asas pada tahun ini dan 100 mata asas tahun depan.
Pada sidang akhbar selepas mesyuarat FOMC, Pengerusi Fed Jerome Powell berkata ekonomi telah bertambah baik susulan banyak pekerjaan diwujudkan dan kadar pengangguran pula kekal rendah, bagaimanapun masih terdapat risiko inflasi akan kekal di atas sasaran.
Sehingga berita ini ditulis, harga BTC melonjak sebanyak 1.57% pada paras $66,140 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $1.3 trilion tetapi masih mencatatkan penyusutan 4.05% sepanjang minggu lepas.